Impian kanak-kanak leukemia miliki alat pemain DVD tercapai

Impian kanak-kanak leukemia miliki alat pemain DVD tercapai

Utusan Malaysia, October 15 2009

Nurashikin Wali di samping ayahnya, Adhari Wali gembira memiliki (DVD) sendiri.



http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1016&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_13.htm
KOTA KINABALU 15 Okt. - Bagi Nurashikin Wali, 6, kanak-kanak yang menderita penyakit leukemia, hanya satu yang impiannya iaitu memiliki alat pemain cakera video digital (DVD).

Baginya yang berasal dari Kampung Sikuati, Kudat, alat pemain DVD banyak mengurangkan penderitaannya dan menganggap barangan itu sebagai sesuatu yang ‘mahal’.

Ini kerana dia berasal dari keluarga miskin dan bapanya, Adhari Wali hanya bekerja sebagai nelayan manakala ibunya, Noriana Muksin hanyalah suri rumah sepenuh masa.

Bagaimanapun impian tersebut menjadi kenyataan apabila sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Impian Kanak-Kanak Malaysia (CWS) membelikan alat pemain itu.

“Saya mahu memiliki alat pemain DVD apabila melihat rakan sebaya yang menghidap sakit lain melihat DVD kartun di hospital,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dia yang ditemui di Hospital Likas di sini bagi menjalani rawatan sejak tiga tahun lalu berkata, DVD kartun mampu membuatkannya gembira sekali gus melupakan kesakitannya.

Dalam pada itu bapanya, Adhari mengucapkan terima kasih kepada CWS kerana merealisasikan impian anaknya itu.

“Walaupun terpaksa bergelut dengan penderitaan akibat sakit leukemia tetapi anak saya masih boleh tersenyum, apa lagi hajatnya untuk memiliki alat pemain DVD tercapai,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden CWS, Teoh Teik Hoong berharap, sumbangan kecil pihaknya akan dapat meringankan penderitaan Nurashikin yang masih menerima rawatan termasuk kemoterapi.

Katanya, adalah menjadi peranan CWS untuk menunaikan hajat kanak- kanak yang menghidap penyakit serius terutama daripada kalangan tidak berkemampuan.

Leave a Reply